Monday, July 26, 2010

Carilah syurga itu











Bagaimana agaknya nasib kita diusia senja kelak. Adakah anak-anak sanggup menjaga kita di usia emas sebegitu. Justeru, kalau kita tak mahukan nasib sedemikian rupa, eloklah kita sentiasa berusaha untuk membahagiakan kedua ibubapa kita selagi hayatnya masih ada. Eloklah kita renung dan telitikan kerana hidup kita ini seumpama roda suatu masa nanti kita jua akan berada di zon tua seperti mereka.

Jadilah manusia yang waras dalam berfikir siapakah yang melahirkan kita didunia ini,siapakah yang sanggup berjaga malam menukar lampin, menyediakan susu, mendodoikan kita sehingga kita terlena dalam dakapannya, sanggup bersengkang mata sedangkan insan lain lena diulit mimpi- mimpi indah. Dengan penuh kasihsayang dia menjaga kita tanpa ada rasa penat dan inilah hakikatnya rasa kasih seorang ibu terhadap anak-anaknya.

Itulah dia insan yag dipanggil ibu, emak, mama, mummy, ummi atau pun bonda. Persoalannya sejauh manakah kita sebagai anak sanggup pula membalas jasa seorang insan yang sanggup bersusah payah mendidik kita agar menjadi orang yang berguna. Begitu juga dengan ayah yang sanggup berkorban masa , tenaga dan segalanya demi kebahagiaan keluarga.Sebagai tonggak dalam sebuah keluarga ayah akan memastikan segala pakai makan minum anak -anak disediakan meskipun berhujan berpanas diluar sana.

Dalam masyarakat kita hari ini nampaknya masih ada anak-anak yang menganggap menjaga ibubapa yang tua dan uzur adalah satu bebanan. Padahal, ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap individu dalam institusi kekeluargaan. Didiklah diri kita untuk menjadi anak yang baik dan soleh menuju ke destinasi syurga yang terletak di bawah telapak kaki ibu. Carilah olehmu wahai anak-anak syurga idamanmu itu.

Menjaga seorang ibu atau yang semakin uzur dari segi mental dan fizikalnya memerlukan kekuatan dalaman bagi seorang anak.Tuntutan tahap kesabaran yang tinggi perlu disemai kerana bagi ibubapa yang uzur ini kebanyakkan bersikap seperti keanak-anakkan yang memerlukan perhatian yang lebih.Tahukah anda, disinilah tersembunyinya laluan ke syurganya itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ada golongan anak-anak sanggup menghantar ibubapa mereka ke pusat penjagaan orang-orang tua. Alasan mereka supaya ibubapa mereka lebih selesa disana. Padahal anak-anak tak sanggup menjaga mereka yang dianggap membebankan mereka untuk menguruskan makan minum dan pakaian mereka.Tambahan pula bagi ibubapa yang tahap kesihatan memang uzur seperti menggunakan lampin pakai buang. Jijik mereka dengan bau najis ibu mereka sendiri apatah lagi untuk mencucinya. Rugilah anak-anak yang berfikiran sedemikian rupa.Lakukanlah dengan ikhlas kerana inilah saham-saham yang melayakkan kita ke syurganya.

Pernahkah kita selami betapa hancurnya perasaan ibu dan ayah apabila anak yang diharapkan untuk menjaganya diusia emas sanggup menghantar mereka ke pusat asuhan orang-orang tua. Bermuhasabah diri dan berilah kasih sayang kita kepada ibubapa yang meniti hari yang sekelumit cuma sementara menunggu panggilan illahi mungkin esok atau lusa.Ambillah kesempatan yang seketika ini untuk menuju ke syurganya.

Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil lagi". Bacakanlah doa ini selalu untuk mereka.

Bagi anak –anak diluar sana yang masih mempunyai ibubapa luangkan masa untuk menalipon mereka sekiranya tidak tinggal bersama mereka . Mungkin mereka tertunggu-tunggu panggilan dari anak-anaknya. Carilah masa rebutlah peluang untuk pergi menziarahi mereka. Mungkin mereka rindu dengan anak, menantu dan cucu-cucu mereka. Mesti terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka yang sentiasa menanti kepulangan anak menantunya. Ada segelintir anak-anak setahun sekali baru jenguk kampong halaman itupun masa musim perayaan dengan alasan sibuk tak sempat balik kampung.Berfikirlah dulu sebelum membuat keputusan.

Beruntunglah ibubapa yang mempunyai anak solah yang sentiasa menjaga mereka ketika mereka memerlukan dalam apa jua bentuk sekalipun. Sejuk hati ibu yang melahir dan membesarkan mereka. Berlemah lembutlah ketika bertutur dengan mereka kerana semakin tua mereka hatinya semakin rapuh dan mudah tersentuh.


Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan
Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan
Tiada bahagia jika tiada
Doa puja restu
Syurga itu ditelapak kaki IBU......

No comments:

Post a Comment